Saturday, January 19, 2008


PERAK BAKAL BERTUKAR NAKHODA


MENTERI Besar Perak, Dato Seri Diraja Mohd Tajol Rosli Ghazali dikhabarkan akan diganti oleh muka baru dalam selepas pilihanraya umum ke 12 ini. Sumber memberitahu, khabar tersebut bertiup kencang di kalangan pimpinan Umno perak sehinggakan wujud kumpulan melobi untuk mencari penganti Tajol Rosli.
Tajol yang menjadi Menteri Besar sejak tahun 1999, 'kononnya' akan digantikan dengan seorang exco pendidikan Perak Datuk Dr Zambry Abd Kadir yang pernah terlibat dengan sebuah NGO Islam terkemuka ABIM.
Selain itu, Zamrry yang diketahui umum merupakan pengikut setia Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah ditahan beberapa ketika menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika zaman reformasi memuncak berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Bagaimanapun menurut sumber, masalah dengan penggantian Tajol adalah pihak Istana kurang bersetuju dengan nama yang dicadangkan tersebut sehinggakan wujud beberapa nama lain sebagai sandaran.
"Tapi hampir pasti Tajol akan digantikan, dan barangkali akan dibawa ke Pusat," kata sumber terbabit.Sementara itu, Utusan hari ini melaporkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh menyatakan kesediaannya untuk dilantik sebagai menteri Pusat selepas pilihan raya umum akan datang sekiranya pucuk kepimpinan tertinggi parti memutuskan sedemikian.
“Saya hanya seorang pekerja parti yang sanggup memberikan perkhidmatan dan sekiranya saya disuruh bertanding untuk kerusi Parlimen, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri.
“Tetapi setakat ini saya tak tahu, tetapi saya akan ikut dan bersedia bertanding di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini.
Idris diminta mengulas desas- desus yang bertiup kencang kononnya beliau akan bertanding kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang bagi membolehkannya dilantik sebagai menteri Pusat.
Khabar angin itu timbul ekoran kebolehan dan keupayaan Idris dalam memaju dan membangunkan negeri semenjak menerajui negeri ini empat tahun lepas mengagumkan banyak pihak.
Idris juga dikatakan mempunyai hubungan intim dengan pucuk tertinggi pimpinan parti khususnya Perdana Menteri.
Idris dilantik menjadi Menteri Besar selepas memenangi kerusi DUN Jertih dan memimpin Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya umum 2004.Sumber difahamkan antara calon yang disebut-sebut menggantikan Idris adalah Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh yang kini berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Wan Farid merupakan Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu.

No comments: